Jaga pemakanan..jaga pemakanan..itulah yang selalu ditekankan semasa hamil. Kenapa? Kerana apa yang kita ambik akan memberi kesan, bukan sahaja kepada diri kita, tetapi anak yang dikandung. Ayuh..kita tengok apa makanan yang perlu diambil dan perlu dielakkan ketika hamil.
PANDUAN MAKANAN SEIMBANG
Amalan pemakanan yang
sihat semasa hamil sangat penting berikutan bayi dalam kandungan bergantung harap
kepada anda. Di sini saya sertakan panduan ringkas pemakanan untuk anda ikuti.
Seringkali ibu hamil disarankan
untuk mengutamakan pemakanan sihat dan seimbang agar kesihatan bayi dan dirinya
sendiri kekal di tahap yang paling optimum sepanjang tempoh kehamilan.
Oleh sebab itulah menu
makanan seharian anda seharusnya mengandungi zat pemakanan seimbang seperti karbohidrat, protein, kalsium, zat besi,
asid folik, beta karotena, asid lemak omega-3, vitamin A, B kompleks dan C.
Sepanjang hamil bisakan
diri anda dengan mengambil produk tenusu seperti susu, keju, dan dadih kerana
di dalamnya terkandung kalsium, vitamin A dan protein. Selain daripada susu
lembu anda boleh mengubah selera dengan mengambil susu kambing yang segar
tetapi pastikan ia dipasteur terlebih dahulu. Jika tidak anda boleh memcuba
susu kambing dalam bentuk serbuk.
Produk kacang soya
seperti air soya, tempe, tauhu juga kaya dengan kalsium dan mengandungi zat
besi. Kekacang kering pula bagus diambil sebagai kudapan. Contohnya badam,
pistachio, walnut kerana ia mengandungi kalsium, zat besi dan folat.
Anda disarankan mengambil
sumber protein yang terdiri daripada daging ayam atau lembu tanpa lemak kerana
ia kaya dengan zat besi dan vitamin B kompleks. Begitu juga dengan ikan dan
telur yang juga mengandungi banyak protein. Seimbangkan menu makanan anda
dengan mengambil sayur-sayuran terutamanya yang berdaun hijau gelap seperti
sawi, bayam, kailan dan brokoli juga. Sayur sebegini penuh dengan khasiat zat
besi, vitamin B kompleks dan beta karotena. Sama juga halnya dengan buah-buahan
dan sayur-sayuran berwarna-warni seperti jambu, betik, kiwi, limau, tomato dan
lobak merah yang tinggi kandungan vitamin C dan beta-karotena.
Bagi mendapatkan
omega-3,amalkan pengambilan ikan salmon dan jenis ikan berminyak yang lainnya.
Selain itu, minyak biji rami(flaxseed oil)juga dipercayai mengandungi sumber
omega-3 yang baik untuk perkembagan otak si manja di dalam kandungan. Dalam
pada itu kurangkan pengambilan manisan seperti gula-gula, biskut, kuih muih,
coklat dan minuman manis. Ini kerana kandungan zat permakanan di dalamnya
adalah sedikit ataupun langsung tiada. Ia perlu dihindari kerana anda mudah
mengambilnya secara berlebihan kerana ia tidak mengenyangkan. Sehubungan itu,
hadkan juga makanan ringan, makanan segera dan makanan yang mengandungi
perwarna, perasa serta bahan pengawet.
Saya syorkan pengambilan
makanan tambahan untuk menampung apa-apa gizi makanan yang terkurang dalam
pengambilan menu harian anda.
MAKANAN YANG PERLU DIELAKKAN
Majoriti makanan boleh diambil namun ada baiknya
kesederhanaan dititikberatkan. Hal ini kerana cara dan kuantiti pengambilan
tertentu yang menentukan sama ada ia memberi manfaat atau membawa mudarat.
-susu dan produk tenusu yang tidak dipasteur
termasuklah keju biru kerana dibimbangi boleh menyebabkan keracunan makanan dan
keguguran.
-mkanan mentah atau tidak dimasak sepenuhnya seperti
telur, daging dan ikan kerana keracunan makanan.
-Ikan bersaiz besar seperti yu kerana boleh menjejaskan
tumbesaran otak dan sistem saraf bayi dan ianya kandungan merkuri yang tinggi.
-Minuman beralkohol kerana boleh mengganggu
perkembangan janin dengan menyekat oksigen dan nutrien.
-Minuman berkafein yang diambil melebihi 200mg
dikaitkan dengan keguguran. Malah anda akan mengalami anemia perlu berwaspada
kerana ia menghalang penyerapan zat besi.
-Hati yang diambil secara berlebihan boleh
mengakibatkan kecacatan bayi akibat kandungan vitamin A yang tinggi.
No comments:
Post a Comment